Monday, October 18, 2010

Kita Adalah Peniru







Dia dilahirkan sebagai seorang peniru. Ya, memang itulah dia. Sejak baru lahir, melihat dunia, dia sudah diajar untuk meniru.

Masih dia ingat sewaktu dia baru bangun daripada tidur, ibunya mendukungnya seraya mengajarnya untuk meniru. Meniru menyebut, “Mama… mama… mama…”

Setelah beberapa bulan, dia sudah berjaya meniru dan menyebut beberapa perkataan mudah. Kemudian perhatiannya dialihkan pula kepada suatu perkara lain. Dia lihat orang di sekelilingnya berdiri dengan dua kaki yang ada dan berjalan.

Dan dia cuba untuk meniru. Mula-mulanya dia hanya merangkak. Kemudian apabila ibunya menyedari tentang kemahuannya untuk berjalan, ibunya lantas membantunya berdiri dan mengajarnya meniru cara orang lain berjalan – meletakkan kakinya ke atas kaki ibu, dan si ibu terus berjalan beberapa langkah.

Asas dalam Meniru

Itulah asas pertama dalam meniru. Melihat apa yang orang lain lakukan dan kemudian cuba untuk melakukan perkara yang sama. Maka disitulah dia diasuh bahawa apa yang majoriti lakukan, itulah yang dia perlu lakukan.

Itu cerita zaman bayinya. Dan dia terus diajar untuk meniru lagi apabila masuk alam persekolahan. Si guru mula mengajarnya tulis dan baca, juga mengira. Dan segala yang dilakukan oleh gurunya ditirunya bulat-bulat. Mulanya mengira dengan menggunakan jari, lama-kelamaan dia sudah tidak perlu menggunakan jari lagi, dia sudah boleh mencongaknya sendiri.

Dan itu asas kedua dalam meniru. Meniru daripada orang yang kita rasakan lebih pandai daripada kita. Bukankah itu yang selalu kita lakukan? Biarpun kita sendiri tidak tahu apa yang dia lakukan betul atau tidak, kita terus sahaja meniru dan mengikut.

Ah, dan dia kini sudah memasuki alam remaja. Alam yang penuh dengan dugaan. Katanya inilah alam yang dia mulai mempercayai media massa. Apa sahaja perkembangan dunia, fesyen, hiburan, sukan dan lain-lain pasti akan ditirunya untuk dijadikan bahan topik perbualan dengan kawan-kawan.

Pernah pada suatu hari, ibunya menasihatkannya, “Kalau orang buat perangai tak elok, janganlah ditiru.”

Tiga golongan peniru

Kadang-kadang dia tidak sedar dia hanya ditipu tentang apa yang ditirunya. Dia sangkakan dialah peniru terhebat. Dia sangka dia sudah hadam semua asas dalam meniru. Tetapi dia tidak tahu yang peniru juga terbahagi kepada tiga golongan – peniru yang hebat, peniru yang ditipu, peniru yang bendul.

Peniru yang ditipu inilah golongan peniru yang paling teruk sekali. Hanya tahu meniru dan mengikut tanpa berfikir panjang. Sehinggakan jawapan yang salah juga ditirunya bulat-bulat. Sehinggakan perkara yang salah disangkakannya betul.

Golongan kedua teruk adalah peniru yang bendul. Tetapi tidaklah seteruk peniru yang ditipu kerana peniru yang bendul ini meskipun dia hanya tahu mengikut tetapi dia juga tahu membezakan yang mana satu betul dan yang mana satu salah. Jadi, peniru yang bendul ini hanya mengikut apa yang dia rasakan baik sahaja.

Golongan peniru yang bendul ini jugalah antara golongan majoriti di antara ketiga-tiga golongan. Tapi sebab dia berada di tengah-tengah, jadi kadang-kadang dia pun boleh juga tersingkir dan termasuk dalam golongan peniru yang ditipu. Mungkin sebab adanya golongan peniru yang bendul inilah yang menyebabkan ramai manusia di dunia hanya melakukan perkara yang sama – pergi sekolah, masuk universiti, dapatkan gred yang baik, kemudian bekerja dengan penuh rasa taat kepada tuan, kahwin dan mati.

Adapun golongan peniru yang ketiga ini adalah yang paling hebat sekali tetapi seringkali orang menyangka yang mereka ini adalah orang bermasalah. Hanya kerana mereka tidak mengikut apa yang majoriti buat. Hanya kerana mereka meniru dan menukarkannya mengikut selera mereka, mengikut apa yang mereka suka.

Tetapi itulah realiti, apa yang mereka suka selalu dikutuk-kutuk, tidak diendahkan.

“Ah, biarkan dia orang gila itu, masuk universiti tetapi sekarang mahu usahakan tanah di kampung pula.”

“Lupakan sahaja niat kau itu. Selagi belum habis belajar, jangan ada niat mahu kahwin.”

“Bawa-bawalah bertaubat. Orang lain di sini ikut mazhab Syafie, yang kau nak ikut mazhab lain itu kenapa?”

“Kau tahu, apa yang kerajaan buat itu semuanya betul. Janganlah nak menafikannya. Orang lain dah sokong seratus peratus. Kau pula nak tunjuk pandai keluarkan pendapat sendiri.”

“Sudahlah. Orang lain dah makan pakai sudu dan garfu, kau janganlah buat cara kampung makan pakai tangan sahaja di hotel ini.”

Begitulah seterusnya dan golongan peniru yang hebat ini terus digelak, diperlecehkan. Cuma apabila mereka telah berjaya dengan apa yang mereka lakukan barulah golongan yang lain duduk terdiam. Tetapi mahu menunggu untuk berjaya itu mengambil masa yang lama. Dan ramai antara mereka juga yang tersingkir dan menjadi peniru yang bendul.

Teruslah menjadi peniru yang bendul

Dan begitulah dia hidup dalam dunia ini. Hidup dengan meniru untuk ditipu dan meniru secara bendul. Bagi dia golongan peniru yang hebat itu tidak perlu wujud langsung dalam dunia ini.

Dia terus meniru apa yang ditulis di mana-mana media, dia terus meniru apa yang kerajaan kata tanpa menyedari yang negaranya kini menduduki tangga ke 124 menurut laporan Indeks Kebebasan Media Sedunia 2007.

No comments :

Post a Comment