Tuesday, May 31, 2011

Silap Mata TNB - Melalui Bil Elekrik


Bacaan meter eletrik di premis dua bulan sekali ada agenda tersembunyi. Inilah dasar kapitalis yang mengaut keuntungan dalam bisnes secara tidak beretika. Lebih-lebih lagi apabila agenda kroni dan politik saling berkait. Rakyat yang alpa mudah tertipu. Mangsa yang terperangkap ialah rakyat jelata di bawah slogan 1Malaysia.

TNB, pembekal tenaga elektrik monopoli, mengamalkan secara bergilir-gilir bacaan meter di premis dan bacaan meter anggaran yang diposkan. Mengikut maklumat dalam pengurusan TNB, ini adalah agenda politik untuk membantu kroni. Pos Malaysia kepunyaan Syed Mokhtar al-Bukhari, rapat hubungannya dengan orang nombor satu negara dan parti juara rakyat. Penulis dimaklumkan bahawa atas arahan kerajaan, TNB wajib menggunakan khidmat Pos Malaysia untuk menguruskan pos bil bulanan secara dwibulanan. Pos Malaysia mengambil caj sebanyak RM3.00 atas satu bil. Inimaklumat yang diberikan oleh pengurusan TNB.

Tujuannya dapat dijangkakan. Bukahkah Pos Malaysia telah melakukan pelbagai urusan sampingan seperti pembaharuan lessen memandu, pembayaran bil domestic, daftar pengundi dan sebagainya. Apa tujuannya? Pos Malaysia mungkin gulung tikar jika tidak diberi oksigen. Jadi Pos Malaysia kena kaut lagi melalui mou dengan TNB. Siapakah menjadi mangsa sebenar? Apakah TNB mahu rugi kerana dipaksa menyumbat oksigen kepada Pos Malaysia? Jawapannya pasti, TIDAK. Cara kapitalis berniaga pasti mengenakan pelanggannya. Macam mana TNB mahu ‘cover’ caj RM3.00 yang dikenakan oleh Pos Malaysia? Berikut ceritanya.

Semasa bil secara pos, anggaran penggunaan tenaga direndahkan. Contohnya, pengguna yang biasa menggunakan secara purata 1 500 KW dalam tempoh dua bulan, maka anggaran bil yang dilakukan secara pos direndahkan kepada 400 KW sahaja untuk bulan berkenaan. Maka pada bil kedua di mana pembaca meter datang ke premis, bacaan penggunaan dikira untuk tempoh dua bulan sekali gus, menjadikan jumlahnya 1 500 KW. Di sinilah pengguna diperkenakan. Benar, jumlah bayaran ditolak dengan bayaran bulan terdahulu untuk 400KW itu, tetapi nampakkah bil tuan-puan dicaj tariff sehingga peringkat keempat yang mahal itu? Di sinilah TNB ambil keuntungan secara tipu. Mengapa? Perhatikan pengiraan di bawah apabila sistem pos dilaksanakan, pengguna terpaksa membayar seperti berikut:-

1 000KW pertama X RM 0.286seunit = RM 286.00

200KW kedua XRM 0.378 seunit =RM 75.60

200KW ketiga XRM 0.387 seunit = RM 77.40

100 KW berikutnya XRM0.397seunit = RM 39.70

Jumlah bayaran ialah RM 478.70. Mengapakah hal ini berlaku? Kalau diperhatikan pada bil, ada keanehannya iaitu silapmata tadi. Bacaan meter dikira bermula daripada bacaan di meter ke bacaan pada meter terkini. TNB tidak guna bacaan anggaran yang dibuatnya dahulu. Inilah silap matanya. TNB hanya tolak bayaran bulan sebelumnya sahaja tetapi pengguna telah dicaj ke peringkat keempat tariff tadi. Memang amat kompleks dan licik.

Sekiranya bacaan meter dilaksanakan di premis sahaja, bayaran dipuratakan seperti berikut:-

750 KW X RM0.286 seunit = RM 214.50 sebulan. Maka bayaran dua bulan ialah RM 429.00. Ini bererti TNB berjaya menggelapkan duit pelanggannya sebanyak RM 49.70. Walaupun ini merupakan anggaran sahaja tetapi hakikatnya TNB tetap menggelapkan puluhan ringgit wang pelanggannya. Itu baru seorang pelanggan.

Kiralah sendiri kalau 100 000 pengguna menjadi pelanggan wajib TNB.

Natijahnya, KPDNKK dan persatuan pengguna perlu bertindak segera. TNB dan Pos Malaysia perlu memberi penjelasan sekiranya maklumat dan pengiraan ini tidak tepat. Penulis mendapat maklumat ini setelah pegawai TNB sudah tidak tanah terima caci maki para pelanggan kerana bil berganda. Lalu beliau terlepas cakap dengan katanya, “ini agenda politik”. Rakyat tanyalah diri sendiri, “ ini agenda politik siapa?”.

Nota Kaki : Hangpa Pandai-pandai la pikiaq sendiri..heee.

Satu analisa rambang hakikat semasa (Jika Ada Pembaca Yang Kurang Berpuas Hati Dengan Kajian Aku ni Maaf Lah Ya)

Mat, pakai jeans koyak. Punya telefon bimbit yang tak boleh 3G. Cukup sekadar hantar SMS, dan buat bergayut dengan awek sampai pukul dua tiga pagi. Mat jual burger. Burger Mat kadang-kadang laku. Tambah laku bila Manchester United sesah pasukan lawan di Old Trafford di paparan sebesar gajah restoran mamak yang memberi tumpang dia buka gerai burger. Mat tak belajar tinggi. Waktu tingkatan empat, dia sudah ada lesen motor. Arwah bapa Mat suruh dia ambil lesen motor supaya senang dia pergi sekolah, dan sekali sekala tolong ibunya ke kedai, beli perkakas dapur. Gula, garam, telur, bawang. Mat guna motor untuk bawa ceweknya pusing kotaraya. Kadang-kadang bila ceweknya itu buat perangai, Mat guna motornya untuk lepas geram. Mat bawa motornya itu, jumpa kawan-kawan, yang turut bermotor juga. Mereka beradu motor siapa lebih hebat. Motor siapa lebih ‘blah’.
Mat tidak baca surat khabar. Kalau Mat lalu di kedai runcit untuk beli sekotak rokok seludup, dia cuma jeling muka depan. Nampak satu dua tajuk utama yang selalunya punya kata seperti ‘bogel’, ‘seks’, ‘video’ dan ‘laknat’; kemudian Mat akan blah. Mat juga tidak tonton berita di televisyen. Rumah Mat tak ada pun televisyen. Arwah bapa Mat jual televisyen, supaya boleh bagi duit belanja untuk adik-adik Mat yang lagi sembilan orang. Supaya adik-adik Mat boleh makan minum dan tidak terliur tengok kawan makan di waktu rehat. Mat tak peduli Buletin Utama TV3. Mat langsung tak tahu ada TV Hijrah. Mat hanya kadang-kadang ikut ceweknya itu duduk restoran tomyam, tonton drama petang-petang, atau pertandingan nyanyi-nyanyi.
Cewek Mat ini, namanya Minah. Tapi disebabkan cewek Mat ini tak mahu digelar ‘kampung’ maka panggilnya Min sahaja. Min, juga pakai jeans koyak. Cumanya jeans Min ini melekat di punggung. Mat suka. Ada sekali-sekala Mat tepuk-tepuk, tapi tak boleh di khalayak. Min akan menjeling manja bila Mat buat begitu. Cinta dan sayangnya pada Mat menghapus apa batas yang ada dicadangkan orang. Min sudah tiada dara. Min, bertuah sedikit badannya, punya telefon bimbit yang boleh 3G. Min kerja kerani pejabat loyar. Hari-hari Min sembang dengan kerani lain; tentang pertandingan nyanyi-nyanyi yang dia paksa Mat tonton bersama. Kadang-kadang tentang angan-angannya mau kenduri kahwin macam Kate Middleton. Tapi Mat bukan anak raja. Maka Min boleh angan-angan saja.
Min dulu ada sambung mengaji. Tapi tengah-tengah rajin menaip tutoran, Mat akan hantar SMS, mahu manja-manja. Selesai manja-manja, Mat akan ajak bergayut. Min tak kisah. Super saver ada. Lagipun Min dapat duit dari papa dan mamanya setiap minggu. Maka kerja Min terbengkalai. Dan Min tak bercita-cita untuk sambung mengaji. Dia hanya mahu peluk Mat, dengan penuh kasih sayang. Kemudian ubah lelaki itu menjadi Prince William bila nanti Mat buat keputusan jantan mengajaknya bernikah. Ajak kahwin sudah berkali-kali. Kahwinnya juga sudah berkali-kali. Cuma nikah sahaja belum. Min tak kisah. Min sayang Mat. Cinta mereka sama sebiji macam kisah cinta yang Min tonton di Panggung Sabtu. Atau macam cerita cinta yang Min baca dalam novel-novel cinta yang dia pinjam dari abang angkatnya waktu belajar dulu. Abang angkat Min baik. Suka tolong Min. Tapi Mat tak tahu. Mat tak perlu tahu.
Abang angkat Min, namanya Dolah.
Dolah, pakai seluar slack. Sepatu murahnya sudah lama tidak dikilat. Tapi apa dia kisah. Dolah kerja pejabat pos. Duduk belakang kaunter, tunggu orang datang bayar bil air api. Dolah, ada kereta. Dolah guna keretanya itu untuk hantar anak-anaknya pergi sekolah, sebelum hantar isterinya pergi kerja. Ada masanya juga, Dolah guna keretanya untuk bawa Min jalan-jalan. Hiburkan hati. Dolah tak boleh dipersalahkan. Dia punya tanggungjawab besar untuk cari rezeki buat beri makan anak bini. Dolah mahu masa untuk diri sendiri juga. Kasihan Dolah.
Dolah, punya beban berat. Pada usia baru lewat dua-puluhan, dia punya beban hutang belajar, walau pun belajarnya tak habis. Dicampur itu dengan beban hutang kereta. Kemudian campur lagi hutang rumah. Kemudian kira sama belanja anak bini. Campur sekali duit untuk orang tua di kampung. Campur pula duit yang dia belanja untuk hiburkan hati yang lara disebabkan hutang-hutangnya. Dolah, jarang punya masa untuk tonton televisyen. Menonton televisyen di rumah sepulangnya dari kerja, ertinya merelakan telinganya mendengar anak bini memekak. Dolah buat salah besar kahwin pada usia ini, pada janda anak dua.
Siti ini, bininya si Dolah. Siti janda. Lakinya mati sakit jantung. Dia selalu salahkan dirinya, kerana suka masak makanan berminyak. Tapi Siti pandai. Siti tak makan apa yang dia masak. Maka Siti hidup sihat. Siti masih bergetah. Sebab itu Dolah tergoda. Siti tak buang masa. Siti goda Dolah. Siti menikah lagi. Siti suka. Dolah sayang Siti. Dolah akan korban apa saja untuk Siti. Sebab Siti pandai layan Dolah.
Siti kerja bank. Hari-hari Siti bergosip dengan kawan-kawannya tentang pelanggan bank yang tak bayar hutang. Tentang pelanggan mana yang duitnya banyak. Tentang pelanggan mana yang beli rumah, beli kereta. Siti tahu ekonomi negara merosot. Siti tahu nilai matawang dunia menyusut. Siti tahu harga barang naik. Siti sedar harga petrol naik. Siti tengok orang datang minta pinjam wang hari-hari. Mahu buka perniagaan, mahu kerja sendiri, mahu cari duit; supaya boleh sara anak bini.
Siti tonton televisyen dengan anak-anak. Sambil anak-anak buat kerja sekolah, dan curi pandang pada kaca televisyen. Siti tengok berita TV3. Anak Siti tanya, “Mak.. liwat tu apa?” Siti sengih. Siti kata, “Dia salah sebut. LEWAT la. L-e-w-a-t.” Siti padam televisyen. Tunggu Dolah balik kerja. Malam tu malam Jumaat.
Anak Siti ketawa mengekek. Anak Siti kata dalam hati, “Mak ni, ingat aku bodoh ke.” Anak Siti masuk internet. Anak Siti buka Google.
Mat, Minah, Dolah dan Siti ini semuanya rakyat Malaysia. Mereka punya kerisauan masing-masing dan harapan serta cita-cita tersendiri. Mat, Minah, Dolah dan Siti; sebenarnya tak banyak beza dengan kau dan aku. Kita ini semua punya persamaan yang jelas. Mungkin cuma satu persamaan, atau barangkali lebih. Apa yang nyata, kita ini semua rakyat Malaysia yang punya tekanan-tekanan dan situasi ekonomi yang mengharukan.
Anak-anak muda seperti Mat dan Min, tidak sangat peduli dengan politik idea. Dolah juga serupa. Dia lebih peduli tentang duit. Kerisauan dia itu lebih material, dibanding dengan kerisauan tentang pihak-pihak yang tidak memberi banyak kesan padanya, seperti puak yang sebar video lucah. Seperti kelas pertengahan yang hampir tidak membaca, politik hanya difahami sebagai pertarungan parti-parti politik untuk merebut kekuasaan untuk memperjuangkan kepentingan masing-masing.
Anak muda memandang politisi sebagai grup yang ‘poyo’ dan tidak selari dengan gaya mereka. Maka ide politik tidak menjadi tarikan. Kerana ide politik tidak ‘cool’. Semahunya mereka ini, supaya tidak mengambil garis partisan, supaya tak nampak ‘poyo’ dan tua sebelum usia. Namun hakikatnya anak muda tidak bisa lari jauh, dari efek politisi dan politik. Mahu tidak mahu, perlu peduli juga. Terutamanya bila Mat nak merempit, mahu beli minyak rasa macam lebih baik makan nasi ayam. Atau bila Min mahu buat kueh raya, tidak bisa guna gula. Bila Dolah hampir bankrap dan tidak lagi boleh hora-hora. Bila Siti punya anak-anak, terlebih bijak dan tidak teringin masuk sorga kerana tidak rasa perlu agama. Semua itu politik belaka.

 Nota Kaki :  Ketika setiap sensitiviti kita diruntun, dan marah kita dipetik; di waktu itu baru mau bangkit melawan dan mengaku peduli.
Mungkin dah lambat la beb waktu tu.

Inflasi 3.5%, Rakyat M'sia Hilang RM35 Setiap RM1000

Setiap kenaikan harga runcit, walau sekecil manapun, akan membebankan rakyat bawahan di Malaysia yang sudah pun terbeban dengan bajet keperluan yang ketat dan semakin ramai pengguna yang risau dan prihatin di atas kadar peningkatan inflasi berbanding kenaikan gaji mereka.

Bank Negara baru-baru ini mengumumkan, inflasi akan meningkat dua kali ganda kepada 3.5% untuk tahun ini. Sekarang ia sudahpun mencecah 3%.

Bagi rakyat biasa yang berpendapatan RM1000, kadar inflasi 3.5% secara mudahnya membawa maksud ia akan kehilangan RM35 dari saku tanpa membeli apa-apa.

Dan jika kadar inflasi meningkat sehingga 5%, mereka akan kehilangan RM50, yang sepatutnya boleh digunakan, untuk keperluan beras, gula, minyak dan bawang selama beberapa hari untuk ahli keluarga.

Dalam kitaran harga barangan pengguna sahaja telah membuatkan rakyat Malaysia kehilangan kuasa membeli mereka.

Kita tertinggal dengan kebanyakan negara sekarang. Malah rakyat yang tinggal di Kuala Lumpur yang biasanya memiliki kuasa membeli tertinggi berbanding rakyat Malaysia di tempat lain turut merasakan kesulitan itu.

Kenyataan ini merujuk kepada fakta "2010 Prices and Wages Report," yang dikeluarkan oleh Laporan UBS Switzerland yang mendedahkan Malaysia tertinggal di dalam saingan global di dalam hal kuasa membeli.

Berbanding Korea Selatan, 40 tahun yang lalu, kemampuan ekonomi republik itu setara dengan Malaysia, tetapi sekarang rakyatnya menikmati kuasa membeli 17% lebih tinggi berbanding Malaysia.

Menurut laporan itu, kuasa membeli penduduk KL hanyalah 33.8% berbanding penduduk New York, sementara penduduk London mempunyai kuasa membeli sehingga 42%.

Laporan itu mencatatkan walaupun harga barang di tempat ini adalah dua kali ganda berbanding di KL, kuasa membeli di Kuala Lumpur masih dua kali lebih rendah.

Nota Kaki :  Wang Makin Berkurangan nilainya Jadi kalau Gaji Naik Pun Tiada Gunanya...!!!

Sunday, May 8, 2011

Obama keberatan siar imej jenazah Osama


WASHINGTON: Kakitangan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) bercanggah sama ada mahu mendedahkan gambar mayat Ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden selepas penyokong teori konspirasi dan kumpulan Taliban mempersoalkan sama ada dia benar-benar telah mati, lapor sebuah akhbar semalam.


OSAMA LADEN
Presiden AS, Barack Obama keberatan menyiarkan imej tersebut kerana keadaan mayat Osama yang berlumuran darah dengan kesan kecederaan yang teruk.

Obama berpendapat pendedahan imej mayat Osama sebagai tidak menghormati orang yang telah mati dan boleh mendatangkan tindak balas negatif.

Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Leon Panetta sebaliknya berkata, foto ketua Al-Qaeda itu hanya menunggu masa untuk didedahkan kepada umum.

Berikutan tiada bukti bergambar bahawa Osama telah mati, terdapat dakwaan bahawa dia sebenarnya tidak dibunuh.

Dalam isyarat bahawa isu pendedahan imej Osama sedang hangat dibincangkan, White House menegaskan keputusan mengenainya masih belum dibuat selain menekankan tentang keadaan mayat Osama yang mengerikan.

"Boleh dikatakan bahawa gambar mayat Osama itu mengerikan," kata jurucakap White House, Jay Carney.

Beberapa pegawai kanan tentera mengesahkan kepada stesen televisyen CNN bahawa terdapat tiga set gambar Osama.

Set pertama dirakam semasa serbuan ke vilanya dan dipercayai menunjukkan mayat dua adik-beradik dan mayat anak lelaki Osama.

Set kedua yang juga set gambar paling jelas menunjukkan gambar mayatnya yang mengerikan di sebuah pangkalan tentera di Afghanistan.

Mayat Osama dilaporkan berlubang di sebelah atas sebelah matanya dengan satu lagi lubang pada bahagian jantung selepas dia mati ditembak komando AS dalam serbuan di lokasi persembunyiannya di bandar Abbottabad, Pakistan pada malam Ahad lalu. -Agensi

Nota Kaki : Masuk Kali ni Dah 7 kali Osama Dilaporkan Dibunuh sejak Tahun 2000-2011, cume kali ni baru nak dihebahkan di serata dunia, kononnya Obama nak jadi pengaman dunia laa..Huh..!!!