SHAH ALAM 29 Nov. - Pengetahuan rakyat di negara ini terutamanya generasi muda mengenai fakta sebenar sejarah termasuk membabitkan institusi diraja masih cetek, kata pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.
Menurut beliau, keadaan itu berlaku kerana mereka tidak dilengkapkan dengan ilmu sejarah yang sepenuhnya dan lebih berkesan di peringkat sekolah.
Baginya, sistem pendidikan di negara ini yang lebih memberi penekanan kepada subjek Sains dan Matematik juga menjadi penyebab masalah itu.
''Jika ditanya soalan-soalan seperti 'di seluruh dunia tiada negara yang ada dua raja, mengapa di Malaysia ada sembilan?' pasti mereka tidak dapat menjawab.
''Kebanyakan mereka juga tidak faham maksud kerajaan dan sejak bilakah ada sembilan kerajaan berdaulat diasaskan di Tanah Melayu.
''Malah perbincangan mengenai institusi diraja di internet juga berlaku beberapa kesilapan fakta asas," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya yang bertajuk Kedaulatan Raja dan Peranan Dalam Sesebuah Negara Berbilang Bangsa pada Wacana : Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Hadapan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di sini petang ini.
Sehubungan itu, kata Kay Khim, penjelasan mengenai sejarah negara perlu diberikan dalam sistem pendidikan agar golongan muda masa hadapan tidak tercari-cari dan keliru.
Ketika ditemui selepas pembentangan kertas kerjanya, beliau menyarankan agar peristiwa 1945 iaitu rampasan kuasa selama 13 hari oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang mengorbankan ramai rakyat pelbagai kaum di Tanah Melayu diingati oleh semua rakyat.
''Pada saya, peristiwa 1945 itu lebih besar kerana ia membabitkan kawasan di Batu Pahat, Johor sampai ke Sungai Manik, Perak dan Batu Kikir, Negeri Sembilan. Ia perlu diingati berbanding peristiwa 13 Mei 1969 yang hanya berlaku di Kuala Lumpur," katanya.
No comments :
Post a Comment