Tuesday, December 21, 2010

Institusi Raja bukti konsep ketuanan Melayu masih relevan

Oleh Mohd ayop Abd Razid
SISTEM politik dan pemerintahan tradisi Melayu meletakkan raja atau sultan sebagai pemerintah tertinggi yang diberikan sepenuh ketaatan dan kesetiaan. Sistem ini berlangsung berabad lamanya. Ketika berlangsungnya penjajahan British di Tanah Melayu, Sultan masih lagi mempunyai kuasa untuk hal tertentu bagi negeri masing-masing. Kedudukan mereka masih dianggap berdaulat ketika itu.

Apabila perlembagaan moden Persekutuan Tanah Melayu digubal oleh British, pengiktirafan terhadap kepentingan sistem beraja tetap diambil kira dengan meletakkannya sebagai Raja berperlembagaan. Ia menjadi sebahagian elemen penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Tun Salleh Abbas (1997), apabila kemerdekaan diberikan kepada Tanah Melayu, institusi beraja dikekalkan dengan beberapa pindaan untuk disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.
Ia sekali gus melambangkan Raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara. Kewujudan institusi Raja menjadi sebahagian daripada identiti negara dan ia dilindungi oleh perlembagaan. Ia disebut di dalam Perkara 159(5) yang menjelaskan bahawa tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Perkara 71 pula menjamin hak seseorang raja dalam negeri baginda untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan. Demikian juga Perkara 38(4) menyebut bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. I

nstitusi raja dianggap penting dalam menjamin kestabilan negara kerana ia menjadi ‘payung negara’, menaungi seluruh rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan kepercayaan agama. Ini adalah selari dengan Perkara 32(1) yang meletakkan kedudukan baginda sebagai ‘Ketua Negara’ dan selaras dengan kedudukannya sebagai Raja berperlembagaan, baginda perlu mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri (Perkara 39 dan 40).

Bagi orang Melayu institusi Raja berperlembagaan dengan fungsinya yang tertentu penting bagi ‘survival’ orang Melayu. Ini dapat difahami di dalam Perkara 153 yang mana ia meletakkan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk melindungi dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Ia termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153.

Berdasarkan Perkara 153, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau kemudahan lain yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan.

Peruntukan 153 tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-raja seperti yang digariskan di bawah Perkara 159(5). Selain itu, kedudukan istimewa orang Melayu juga terkandung dalam Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu. Demikian juga pasukan Rejimen Askar Melayu hanya boleh dianggotai oleh orang Melayu saja seperti dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f).

Di dalam Perlembagaan negeri yang memiliki raja pula menetapkan Raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu ia orang Islam. Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong yang dipilih di kalangan Raja-Raja Melayu itu juga adalah seorang Melayu dan beragama Islam. Justeru, institusi raja turut melambangkan kedaulatan dan kuasa Islam di negara ini.

Kesimpulan, institusi Raja seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu pengiktirafan oleh penggubal perlembagaan yang memahami sejarah, warisan dan tradisi masyarakat dan kedaulatan politik Melayu.

Mereka memahami bahawa ketuanan Melayu sudah pun mengakar lama dengan kewujudan kuasa raja yang menjadi pemerintah di negeri-negeri Melayu, iaitu berabad-abad lamanya sebelum British bertapak di negara ini. Kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong, terutama dalam Perkara 153 adalah untuk memelihara kedaulatan Melayu. - BH 15/12/2010

No comments :

Post a Comment