Mengapa anda mesti mempelajari pengurusan kewangan?
Salam sejahtera,
“Saya sering kehairanan. Wang saya selalu tidak cukup”, anda berkata.
“Apa maksud tuan?” Saya menyoal balik.
“Pendapatan saya boleh dikatakan bagus. Empat angka dengan lain-lain faedah yang ditawarkan majikan. Kehidupan saya tidaklah terlalu bermewah-mewah. Hanya sesekali melancong dan membeli belah beberapa kali setahun. Ke mana agaknya wang pendapatan saya selama ini pergi? Mengapa ianya sering tidak cukup?” Anda pun menerangkan keadaan sebenar.
Jadi izinkan saya menerangkan kenapa keadaan ini menghairankan anda.
Setiap hari, kita dihujani oleh pelbagai maklumat. Ianya semakin lebat kini, seumpama anda sedang melalui salah satu hari di dalam musim tengkujuh. Dengan kepesatan teknologi dan dibantu pula oleh internet, kita seolah-olah lemas di dalam kebanjiran maklumat. Malangnya, hanya sedikit (terlalu sedikit sebenarnya) daripada maklumat-maklumat itu yang membantu kita untuk mengawal penggunaan wang.
Melarikan diri pun kita tidak boleh. Ini memang sudah menjadi rencah kehidupan. Dari sekarang hingga bila-bila pun. Selagi ada yang dinamakan sebagai perniagaan, maka ini tidak akan pernah berakhir.
Sebab itulah anda mesti mempelajari teknik pengurusan kewangan peribadi :
1. Dapat mengenal pasti penipuan yang samar
2. Terhindar daripada melakukan pembelian yang tidak perlu anda lakukan
3. Mampu mengatur perbelanjaan dengan betul
4. Anda tidak kehabisan wang
5. Hutang anda langsai dengan cepat
6. Rumah menjadi milik penuh
7. Simpanan akan meningkat
8. Anda dapat melalui cabaran kewangan yang getir
Selain mahir mengawal kehendak dan kemahuan, teknik pengurusan kewangan peribadi yang betul juga menjadi payung kepada anda sekeluarga. Seperti yang diketahui umum, masalah kewangan datang tidak mengira masa dan kesediaan seseorang. Datang sesuka hati dengan menyerupai bermacam bala. Antaranya menyerupai kebakaran, sakit atau kecurian. Paling mengerikan bila kehilangan pekerjaan atau hilang upaya mendapatkan nafkah.
Mungkin anda masih masih boleh mencari pekerjaan lain.
Tapi kalau anda hanya terbaring kaku sepanjang hari di tempat tidur dan tidak berupaya melakukan apa-apa bagaimana pula?
Anda mahu bergantung harap pada orang lain?
Meminta belas ehsan dan simpati masyarakat sekeliling?
Jadi kepada siapa lagi anda harus mengadu nasib?
Di sinilah simpanan anda memainkan peranan. Di sinilah pelaburan, di sinilah dana kecemasan, di sinilah dana rizab, di sinilah tabungan dan juga di sinilah wang yang anda uruskan selama ini membantu anda. Ini semua adalah berkait rapat dengan pengurusan kewangan yang mantap dan tersusun kemas.
Tapi kalau anda tidak pernah mengambil tahu berkenaan pengurusan kewangan peribadi yang betul, kalau anda tidak pernah cuba mempelajarinya dengan baik, kalau anda tidak mahir menguasainya, bagaimana kesudahan kisah ini?
salam kewangan :-)
sebenarnya aku pun tengah Cube gak..hehe..
No comments :
Post a Comment