Wednesday, July 27, 2011

Orentasi Minda - 'Fikiran dahulu, atau otak dahulu..'

'Arrghh, hanya mimpi! Mimpi permainan fikiran..' Itu ucapan pertama yang terkeluar dari belahan-belahan hati Salmiah sebaik tersedar dari tidurnya. Di dalam mimpi, Salmiah dikejar seekor harimau hitam liar yang tiba-tiba muncul di balik belukar gelap di kebun getah belakang rumahnya. Mujurlah ada Pak Wan yang entah dari mana tiba-tiba muncul membawa selaras senapang kesayangannya itu..

Ketika dalam mimpi, Salmiah dikejar seekor harimau hitam. Salmiah tidak pernah tahu bahawa dirinya sebenarnya sedang berbaring di atas tilam empuk berwarna merah. Salmiah tidak pernah tahu bahawa fikirannya yang di atas tilam empuk merah itulah yang menghasilkan satu sandiwara mimpi yang mana dia sendiri ada di dalamnya. Di dalam mimpi, dunia mimpi Salmiah sempurna - ada harimau hitam liar, ada Pak Wan, ada kebun getah, ada remang cahaya subuh, bahkan ada dirinya sendiri. Di dalam mimpi, dunia mimpi Salmiah sempurna - tidak ada cacat-celanya, bahkan beliau melihat dengan mata-kepalanya bagaimana harimau hitam terkejang-kejang mati akibat beberapa butir peluru senapang Pak Wan menembusi tubuh malang itu. Segala itu real!..

Tiba-tiba, Salmiah tersedar dari mimpi. Kini ia merasakan bahawa ia berada di dunia nyata, dunia sebenar dan bukan mimpi. Ada awan, ada laut, ada gunung dan sebagainya. Tetapi apakah jaminannya untuk mengatakan bahawa dunia ini real? Seperti halnya dalam mimpi, sedikit pun Salmiah tidak mengesani bahawa dunia itu tidak real, tidak sempurna. Sedikit pun Salmiah tidak menyangka bahawa dunia mimpinya itu mimpi..

Di sini, kita membicarakan tentang fikiran, bagaimana fikiran dihasilkan oleh otak. Tetapi apakah bezanya jika Salmiah serta rakan-rakannya yang membicarakan tentang otak, tentang fikiran dalam mimpinya? Barangkali Salmiah seorang pensyarah yang sedang mensyarahkan bagaimana reaksi kimia dalam otak si Abu. Tiba-tiba..

Tiba-tiba..
'Arrghh, hanya mimpi! Mimpi permainan fikiran..', Salmiah tersedar dari mimpi! Tahulah ia bahawa apa yang disyarahkan sebentar tadi tidak lain hanya mimpi, wataknya sebagai pensyarah juga mimpi, walhal di sini(dunia ini) dia hanya seorang penoreh getah. Segala itu hanya kreasi sebuah fikiran Salmiah di atas tilam merah empuknya..

Mungkinkah Salmiah dan tilam empuk merahnya itu adalah juga dunia yang tak lain dari mimpi? Salmiah tidak akan tahu selama ia masih dibuai enak oleh peristiwa-peristiwa di dunia ini, Salmiah tidak akan tahu selama ia masih belum tersedar pada satu dunia yang lebih real, lebih sempurna yang di luar dari dunia tilam empuk merahnya ini - selama itu juga Salmiah mengatakan bahawa fikiran dihasilkan oleh otak..

Bagaiamana dengan anda? Apa jaminan anda bahawa fikiran anda dihasilkan oleh otak anda? Apa jaminan anda untuk mengatakan bahawa dunia ini real? Anda tidak akan tahu selama anda belum terjaga dari dunia ini, bukan..

Nota Kaki : 'Musuh terbesar anda adalah diri anda sendiri. Ia memperkenalkan dirinya sebagai anda, dan memperdayakan anda dari dalam tanpa anda sedari..' Anda tergolong dalam kalangan orang yang hebat sekiranya anda tahu yang anda sedang bermimpi dan keluar dari mimpi anda untuk terjaga dan bangun kerana
anda tahu apa yang sedang anda alami itu hanya lah sekadar mimpi.

No comments :

Post a Comment